Wednesday, November 26, 2008

Taklimat Khas Halatuju Kelas Aliran Agama (KAA) Sekolah-sekolah Daerah Kulim Bandar Baru Ambilan 2009





Pada 25 November 2009 saya berkesempatan menyampaikan taklimat ringkas bertemakan "Halatuju KAA di Masa Hadapan" kepada waris pelajar-pelajar KAA Daerah Kulim Bandar Baru, di SK Taman Jelutong, Kulim, Kedah. Kehadiran saya kemari atas jemputan PPD Kulim Bandar Baru, dan saya diiringi oleh Ustaz Rushdan (JPN Kedah) dan Ustaz Abd. Mutalib (PPD KBB). Pada tarikh ini PPD KBB telah menjalankan ujian kepada pelajar lepasan UPSR 2008 yang memenuhi syarat kemasukan ke KAA sekitar Kulim Bandar Baru. Sambutan yang ditunjukkan oleh waris KAA begitu menggalakkan sehingga ketika saya menyampaikan taklimat berkaitan KAA di dewan sekolah, ramai ibubapa yang sanggup menunggu dan berdiri di luar dewan untuk mendengar bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan KAA. Selepas mendengar taklimat KAA, ramai waris KAA datang kepada saya mengucapkan terima kasih atas penjelasan berkenaan KAA yang sebelum ini amat kabur pada pemahaman mereka.

Syabas kepada PPD BBK kerana berjaya menyusun atur program ini sehingga matlamat saya untuk memberi pemahaman jelas berkenaan KAA kepada pengetahuan umum khususnya ibu bapa pelajar KAA tercapai.....

Peluang pelajar KAA melanjutkan pelajaran semakin meluas

Satu berita baik untuk warga pelajar KAA!

Anda kini berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading dan peluang ini lebih terbuka luas, khususnya untuk kemasukan pelajar aliran agama (KAA) ke USIM, berpusat kampusnya di Nilai, N. Sembilan. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam siaran Berita Perdana jam 8.00 malam pada 25 Disember 2008 ketika berucap merasmikan Kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Bandar Baru Nilai menyatakan bahawa pelajar dari Aliran Agama (KAA) diberi keutamaan untuk memasuki universiti ini. Katanya lagi menerusi akhbar Berita Harian bertarikh 26 November 2008 "penubuhan USIM selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada golongan dipinggirkan daripada arus pembangunan perdana dan ia terbukti apabila universiti itu kini menyediakan tempat kepada lebih 4,000 pelajar yang kesemuanya lepasan sekolah aliran agama".

Dalam akhbar Utusan Malaysia pada tarikh yang sama, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga ada menyatakan perkara yang sama dimana USIM menawarkan 4,000 tempat untuk para pelajar melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi dan lebih penting lagi, kesemua daripada pelajar USIM adalah kalangan para pelajar sekolah aliran agama.

Jelas kini masa depan dan halatuju pendidikan pelajar KAA terbuka luas.....jadi berusahalah sebaiknya wahai pelajar KAA seluruh negara demi melayakkan anda untuk menjejakkan kaki ke menara gading baik dalam dan luar negara sebagaimana yang dicita-citakan.....semuanya bergantung kepada daya usaha anda.......tepuk dada tanya iman!

Wednesday, November 5, 2008

KAA - Sekilas Pandang

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG Kelas Aliran Agama (KAA)

KAA di sekolah menengah harian diwujudkan atas desakan dan permintaan ibu bapa dan masyarakat kepada pendidikan yang disediakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). SMKA yang sedia ada tidak dapat menampung permintaan ibubapa berikutan pencapaian prestasi murid-murid dalam UPSR yang meningkat. Kementerian Pelajaran Malaysia pula tidak lagi bercadang untuk menambah bilangan SMKA maka keperluan kepada aliran seperti yang dilaksanakan di SMKA amat diperlukan dan diperluaskan di Sekolah Menengah Harian Biasa.

KAA di Sekolah Menengah Kebangsaan telah mula dijalankan secara rintis pada tahun 1987. Pada bulan Februari 1990 Pengarah Pendidikan Malaysia ketika itu telah meminta Pengarah-pengarah Pendidikan Negeri menubuhkan Aliran Agama di Sekolah Menengah Kebangsaan di negeri masing-masing. Dalam Mesyuarat Penyelarasan Hal-hal Profesional (PHP) ke 29 pada bulan Januari 1991 Kertas KAA telah dibincangkan.

Pada tahun 1992, Kelas Aliran Agama (KAA) telah diadakan di 130 buah sekolah iaitu 11 di Johor, 6 di Pahang, 13 di Kelantan, 26 di Terengganu, 10 di Sabah, 11 di Kedah, 4 di Pulau Pinang, 9 di Perak, 23 di Selangor, 5 di Wilayah Persekutuan, 6 di Melaka dan 6 di Negeri Sembilan. Sehingga kini KAA telah meningkat sebanyak 529 buah sekolah , 2,262 kelas dengan jumlah muridnya seramai 62,458 orang.

Assalamualaikum

Saya selaku Ketua Unit KAA, BPI, KPM mengalu-alukan sebarang bentuk perkongsian ilmu, pengalaman, info berkaitan KAA sebagai satu usaha ke arah memantapkan lagi pelaksanaan KAA di peringkat sekolah sehingga berupaya melahirkan para pelajar yang cemerlang dari segala aspek di aliran KAA. Sebarang bentuk cadangan, teguran yang positif mahupun negatif yang dapat membantu saya mempertingkatkan lagi pengurusan KAA amat-amat saya harapkan dan saya amat menghargainya dan sanjung tinggi. Bantulah saya secara bersama untuk mempertingkatkan kecemerlangan KAA setanding dengan mana-mana institusi pendidikan bercorak asrama penuh, cluster, primier dan sealiran dengannya di arena pendidikan bercorak globalisasi. Berjayanya saya adalah dengan adanya sokongan dan bantuan dari semua pihak.

Pemantauan KAA negeri Perak

Bersama warga SMK Seri Manjung

Memberi penerangan berkaitan KAA

Pemantauan saya seterusnya ke negeri Perak, iaitu pada 3 dan 4 November 2008. Saya sekadar membantu Us. Mohd Abd. Aziz Mahmud (Pen. Pengarah IPPI) yang tidak dapat membuat pemantauan ke seluruh sekolah yang ditetapkan. Sasaran pada peringkat awalnya adalah ke 5 buah sekolah sekitar Gerik, Lenggong, Manjung, Bota dan Hutan Melintang. Saya dengan diiringi oleh pegawai JPN Perak iaitu Us. Zahari telah selesai melakukan pemantauan ke SMK Gerik, Jln Kuala Kenderong, Gerik dan SMK Dato' Ahmad, Jln Alang Iskandar, Lenggong, Perak. Pemantauan berjalan lancar, segala info berkaitan KAA telah disampaikan kepada pentadbir sekolah yang dilawati. Selesai pemantauan di dua sekolah ini, saya dan Us. Zahari memulakan perjalanan ke Seri Manjung untuk membuat pemantauan di SMK Seri Manjung, Manjung, Perak. Dalam perjalanan dari Air Tawar menuju ke Manjung untuk tugas pemantauan akhir hari ini, saya terlibat dengan kemalangan jalanraya yang sangat tidak saya jangkakan. Alhamdulillah, saya tidak menghadapi apa-apa kecederaan zahir, kecuali sedikit sakit di bahagian dada akibat dari hentakan yang kuat ke stering kereta. Walau bagaimanapun, saya gagahi juga untuk ke SMK Seri Manjung pada 4 November 2008 membuat pemantauan KAA. Alhamdulillah selesai sudah pemantauan saya ke Perak meskipun tidak mencapai 5 buah sekolah, saya bersyukur kehadrat Illahi kerana mengizinkan saya untuk teruskan perjuangan pertingkatkan kemajuan KAA di masa depan, InsyaAllah.

Tuesday, November 4, 2008

Pemantauan KAA di Negeri Kedah




Pada 28-30 Oktober lepas, saya telah turun ke Negeri Kedah untuk melaksanakan pemantauan di beberapa buah sekolah menengah yang mempunyai Kelas Aliran Agama. Antara sekolah yang sempat saya lawati ialah SMK Tun Sh.Rodziah di Alor Star, SMK Tunku Abd. Malik juga di Alor Star, SMK Kuala Nerang dan SMK Pdg Terap di daerah Padang Terap. Saya juga sempat melawat dan melaksanakan pemantauan di beberapa buah sekolah KAA di daerah Kulim/Bandar Baharu iaitu SMK Taman Jelutong, SMK Sg.Kob dan SMK Lubuk Buntar. Di samping itu, saya berkesempatan untuk menyampaikan taklimat KAA kepada para pelajar SMK Tmn Jelutong dan merasmikan majlis penutupan Kem B.Arab KAA di Kem PLKN, Kulim. Terima kasih kepada semua yang membantu saya melaksanakan pemantauan ini khususnya para pegawai di JPN Kedah dan PPD Kota Setar dan Kulim/Bandar Baharu.